Malaysia Online News , Dungun | Rokiah Sulung dari Kampung Pelandang Dungun, rebah ketika menunggu giliran untuk mengundi, disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian.
DUNGUN: Hasrat seorang wanita untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia selepas rebah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pada kira-kira 8.20 pagi, Rokiah Sulung, 54, dari Kampung Pelandang rebah ketika menunggu giliran untuk mengundi di pusat berkenaan dan disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian oleh pegawai perubatan yang bertugas.
Anak sulungnya, Nurzita Md Nur, 36, berkata ibunya yang menghidapi penyakit darah tinggi tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum itu.
“Masa saya sampai, mak masih sedar. Saya sempat melihat mak saya menarik nafas beberapa kali sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Serai, di sini.
Nurzita berkata jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Serai selepas asar.
Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

